Halaman

27 August 2013

Pencapaian ahli akademik, penyelidik UMT mendapat pengiktirafan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian ahli akademik dan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan kecemerlangan holistik dalam perjalanan ilmu yang memberi impak signifikan kepada pembangunan universiti terus mendapat pengiktirafan apabila menerima pelbagai anugerah sempena Majlis Anugerah Malim Ilmu UMT di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, malam tadi.

Seramai 13 ahli akademik menerima anugerah berkenaan, sementara 108 penyelidik yang menerima geran penyelidikan daripada kerajaan pusat sepanjang tahun lalu turut menerima penghargaan.

Di majlis itu, pensyarah Prof. Emeritus Dr Faizah Sharom dianugerahkan Anugerah Malim Ilmu 2013 yang membolehkan beliau menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Pakar bidang parasitologi dan penyakit ikan itu sudah  banyak melakukan pelbagai penyelidikan terutama mengenai penyakit spesies hidupan di air berkenaan.

Bagi Anugerah Pemimpin Akademik yang dibahagikan kepada tiga kategori menyaksikan Kategori Penyelidikan dimenangi oleh Prof. Madya Dr Mhd Ikhwanuddin @ Polity Abdullah.

Manakala Kategori Pengajaran dimenangi oleh Prof. Dr. Ir Ahmad Jusoh dan Kategori Pemindahan Ilmu dianugerahkan kepada Prof. Madya Dr, Zaleha Kassim dengan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Bagi anugerah Saintis Cemerlang dianugerahkan kepada Prof Madya Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa (Sains Tulen) dan Prof. Madya Dr Yeong Yik Sung ( Sains Gunaan & Kejuruteraan).

Kejayaan itu membolehkan pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Anugerah lain ialah Anugerah Pemimpin Akademik Muda diberikan kepada Prof. Madya Dr Wan Mohd Khairul Wan Mohamed Zin ( Penyelidikan), Prof. Madta Dr Mohd Zul Helmi Roziani ( Pengajaran) dan Dr Mustafa Man ( Pemindahan Ilmu).

Mereka menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan. Untuk kategori Anugerah Penyelidik Tahunan diberikan kepada Prof. Madya Dr Noor Maizura Mohamad Nor (Sains Gunaan & Kejuruteraan) dan Prof. Madya Dr Nur Azura Sanusi (Sains Sosial). Masing-masing menerima Mereka menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Manakala bagi Anugerah Pengajar Cemerlang diberikan kepada Prof. Madya Dr. Mariam Taib yang menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan. Semua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof, Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo.

Sementara itu, Dato’ Ibrahim berkata UMT akan melakukan transfromasi dalam usaha penambahbahbaikan dan meningkatkan lagi prestasi serta kecemerlangan pusat pengajian itu.

“Kita perlu melakukan perubahan bukan kerana kita hennak berubah tetapi perubahan adalah untuk memperkukuhkan lagi cara UMT dalam menyumbang kepada pelajar dan masyarakat,’’ katanya.

menurutnya, kertas cadangan mengenai transfomasi sistem fakulti kepada pusat pengajian akan dihantar pada Oktober ini kepada Lembaga Pengarah Universiti bagi mendapatkan kelulusan dan akan mula dilaksanakan mulai awal tahun depan jika diluluskan.