Halaman

05 August 2013

Penerima zakat Maidam insaf dan terharu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih) 

Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjengah tidak lama lagi amat bermakna kepada 7,018 ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin apabila masing-masing menerima bantuan zakat berjumlah RM2,962, 600 di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Lebih bermakna, apabila Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat berkenaan, iaitu RM300 seorang dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan tanpa had, bermula tahun ini.

Kaedah baru itu membolehkan penerima zakat mendapat bantuan lebih tinggi kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Maidam mengagihkan RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih dari tiga tanggungan.

Puan Khatijah Harun
Seorang surirumah, Puan Khatijah Harun, 50 dari Kampung Tok Jiring berasa sangat insaf, terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diterima hasil keprihatinan dan nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t, apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh keberkatan .

Beliau yang mempunyai tujuh tanggungan dan layak menerima RM650 akan menggunakan bantuan zakat itu sebagai persiapan menghadapi hari raya tidak lama lagi.

Puan Halijah Ibrahim
 “Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin dengan kesusahan yang saya hadapi. Duit ini akan digunakan untuk membuat persiapan raya anak-anak saya,” katanya.

Manakala Puan Halijah Ibrahim, 40 dari Seberang Takir pula akan menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barang-barang keperluan harian dan persiapan menyambut lebaran bersama keluarga tidak lama lagi.

Encik Abu Bakar Jusoh
“Sebagai ibu tunggal kepada empat orang anak, saya sangat bersyukur dengan bantuan Zakat dari pihak Maidam ini. Duit ini akan digunakan untuk membeli keperluan harian selain sedikit persiapan untuk hari raya,” katanya yang menerima RM550.

Seorang lagi penerima zakat, Encik Abu Bakar Jusoh, 50 turut terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana dapat menampung perbelanjaan dia dan keluarga khususnya ketika umat Islam bakal meraikan 1 Syawal nanti.

 “Pendapatan sebagai penoreh getah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Jadi, Alhamdulillah dengan bantuan zakat ini dapat meringankan beban saya dan menyediakan keperluan sepatutnya,” katanya.




No comments: