Halaman

28 August 2013

Peruntukan RM60 juta pastikan Terengganu bersih

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta setahun untuk membiayai kerja pembersihan di seluruh negeri dalam usaha memastikan persekitaran bersih, indah dan kesihatan penduduk terjamin.

Dato' Seri Haji Ahmad Said memandu lori kompaktor selepas majlis penyerahan lori berkenaan kepada PBT seluruh negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata kos terbabit merangkumi perbelanjaan menyelenggara pembersihan longkang, padang permainan, kawasan kediaman dan pengurusan sampah yang semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi negeri terbersih dalam tempoh beberapa tahun lagi seperti negara maju lain termasuk Singapura.
Menteri Besar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu memotong riben gimik penyerahan lori kompaktor kepada PBT disaksikan Dato' Haji Mazlan Ngah.
"Kerajaan menyalurkan perbelanjaan besar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu kira-kira RM60 juta setahun bagi menguruskan soal kebersihan seperti pembersihan longkang dan memotong rumput di padang permainan atau kediaman.

 "Ia bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan negeri ini kekal bersih seperti negara maju termasuk Singapura," katanya selepas majlis Penyerahan Lori Kompaktor kepada PBT di pekarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji  Mazlan Ngah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Adzlan Mohd Dagang dan wakil PBT setiap daerah.


Sebanyak 10 lori yang bernilai keseluruhan RM2.95 juta diagihkan kepada tujuh PBT  temasuk empat daripadanya kepada MBKT bagi melancarkan kerja pungutan sampah di kawasan masing-masing.

Dato' Seri Haji  Ahmad berkata, dianggarkan 800 tan sampah dibuang setiap hari dan jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun berikutan pertambahan penduduk dan permbangunan ekonomi setempat khususnya perkedaian dan restoran.

Katanya, pembelian lori kompaktor itu adalah bagi mengatasi masalah kutipan sampah yang seringkali  lewat disebabkan kekurangan jentera berkenaan.


"Setiap PBT menerima sebuah lori kecuali MBKT yang menerima empat lori. Dengan adanya lori ini, masalah longgokan sampah disebabkan kelewatan jadual pungutan dapat diatasi kerana kita tak mahu lagi dengar rungutan rakyat mengenai bau busuk dan sebagainya akibat sampah lambat dipungut," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga sudah menempah 20 lori kompaktor baru membabitkan kos RM5.8 juta yang djangka diperoleh tahun depan.

Katanya, kerajaan negeri menempah lori baru ini bagi menggantikan lori lama yang kerap rosak sekali gus untuk memastikan kerja pembersihan lebih lancar dan perkhidmatan PBT kepada seluruh penduduk bertambah cekap.