Halaman

04 August 2013

Polis Besut buka jalan alternatif kepada pengguna jalan raya

Oleh: Mohammad Ishak 

Pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan utama Kuala Terengganu-Jertih berikutan pulangnya perantau ke negeri ini dan Kelantan menyebabkan Polis terpaksa membuka laluan baru sempena cuti Aidilfitri Khamis ini.

Berikutan itu, Polis Besut akan membuka jalan alternatif untuk pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dan sebaliknya, tanpa perlu memasuki bandar Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan di bandar Jertih sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Jalan alternatif itu akan dibuka dari 6 hingga 12 Ogos ini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut (IPD) Kampung Raja,hari ini.

Beliau berkata pengguna boleh melalui jalan pantai dari Kuala Terengganu/Seberang Takir melalui Penarik dan Kampung Raja ke Kuala Besut untuk ke Tok Bali, Semerak, sebelum ke Bachok/Kota Baharu.

Bagi pengguna dari Pantai Barat melalui Lebuhraya Timur Barat dari Grik/Jeli dan Kota Baharu untuk ke Kuala Terengganu pula, mereka dinasihat menggunakan Jalan Seberang Jerteh ke Kampung Lampu, Kuala Besut sebelum menuju ke Kampung Raja bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui Penarik, Setiu.

"Bagi pengguna yang terpaksa melalui bandar Jerteh pula, mereka dikehendaki berhati-hati dengan pengubahsuaian lorong jalan daripada sehala kepada dua hala bermula di hadapan Sekolah Rendah Chung Hwa Jertih hingga Seberang Jertih mulai petang 5 Ogos," katanya.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata polis mengenal pasti lima lokasi maut di sekitar Besut iaitu di antara Km 98 hingga Km 114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu; Km1 1-10 Jalan Kampung Raja-Benting Lintang; Km 1-12 Jalan Jertih-Kampung Raja; Km1-12 Jalan Jertih-Bukit Puteri; dan Km 1-32 Jalan Jertih-Keruak, Hulu Besut.

Katanya, sepanjang Op Selamat kali ini juga pihak berkuasa akan mengadakan kiosk pemantauan di Km 98.8 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (dekat Kampung Gerai) dan di Km 112 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (dekat Kampung Padang Landak).