Halaman

31 August 2013

Rakyat Terengganu turut raikan merdeka

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat Terengganu turut memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan cara berkumpul bersama keluarga atau sahabat handai di sepanjang jalan di Bandar Kuala Terengganu bagi menyaksikan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan.

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dengan menyaksikan perarakan pembarisan.
Manakala sebahagian lagi penduduk negeri ini turut berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal pagi bagi menyaksikan sambutan tersebut yang diadakan bagi mengingati jasa pejuang tanah air bagi memerdekakan negara daripada belenggu penjajah.

Orang ramai yang juga terdiri daripada pelajar dan kanak-kanak melambaikan tangan dan memberi tepukan setiap kali kontinjen yang menyertai perbarisan lalu di hadapan mereka.




Majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri bermula jam 7.35 pagi itu dengan acara pertama ialah upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar oleh anggota simpanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali, acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.


Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Perarakan kontinjen yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan itu berakhir di Dataran Batu Buruk.