Halaman

24 August 2013

Rapatkan jurang perbezaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negeri ini diminta merapatkan jurang antara mereka bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56.

Ketua Penerangan Umno, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semasa pilihan raya umum lalu memang terdapat jurang antara penduduk tempatan disebabkan sokongan dan fahaman politik yang berbeza.

Bagaimanapun, katanya, PRU13 sudah berlalu dan kini rakyat perlu bersatu padu dan mendokong kerajaan semasa yang dipilih secara majoriti oleh rakyat, demi kebaikan semua.

“Saya menucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kepada semua rakyat Terengganu, khususnya mereka yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan rumah terbuka DUN Seberang Takir di Dataran Permata, hari ini.

Pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan kempimpinan Umno negeri turut hadir memeriahkan majlis berkenaan yang bermula jam 11.30 pagi hingga 5 petang.

Ketika ditemui Teganukita, Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berkata rakyat negeri ini perlu mendokong kerajaan negeri dan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) supaya ia sentiasa kuat dan tidak perlu bergantung kepada kuasa asing.

“Jika kerajaan lemah dan perlu mendapatkan bantuan asing bagi mentadbir negara, rakyat akan mendapat susah kerana kita perlu membayar bantuan mereka dengan harga yang mahal,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya terus menyokong kerajaan dan membantu memulihkan kepercayaan pengundi terhadap BN pada pilihan raya akan datang.