Halaman

08 August 2013

Rumah terbuka MB sempena Aidilfitri meriah

Oleh: Noraini Jusoh


Ribuan rakyat mengunjungi rumah terbuka Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Seri Iman kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana meriah itu bermula jam 10.30 pagi dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat biasa.

Terdapat pelbagai juadah disediakan untuk tetamu seperti lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, sate, laksa dan sebagainya yang kebanyakannya makanan popular negeri Terengganu.

Seorang pengunjung yang ditemui Teganukita, Nurul Hafizah Zailani, 23, berkata perasaannya sangat gembira kerana dapat beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana berpeluang balik beraya di Terengganu.

"Saya sangat gembira kerana dapat balik beraya bersama keluarga pada tahun ini kerana tidak berpeluang meraikan bersama keluarga pada tahun lepas.

"Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, rumah terbuka MB merupakan destinasi pertama kami sekeluarga kunjungi seperti tahun-tahun lepas sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara,” ujar pelajar perubatan di sebuah universiti terkemuka di Dublin itu.

Sementara itu, bagi seorang rakyat Amerika, Britney berkata, kesempatan berkunjung ke rumah Menteri Besar sempena lebaran kali ini memberi pengalaman yang cukup indah kepadanya.

"Saya sangat teruja untuk melihat sambutan Hari Raya Puasa di Malaysia dan kesempatan ini sangat bermakna buat saya kerana dapat merasai keenakan juadah seperti ketupat dan tapai serta mendapat layanan yang begitu istimewa daripada Menteri Besar Terengganu,” ujar pembantu pengajar English Teaching Asistant (ETA) yang mengajar di Johor.

Bagi Azhar Abdullah yang kali kedua mengunjungi rumah terbuka MB berkata, kemeriahan sambutan Aidilfitri sangat dirasai dengan kehadiran pelbagai kaum tidak mengira agama ke majlis berkenaan.

"Saya dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri di sini kerana kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Melayu, China dan India menunjukkan semangat muhibbah rakyat Terengganu,” ujarnya.

 









No comments: