Halaman

15 August 2013

Rumah terbuka sempena ‘hari raya enam’

Oleh: Noraini Jusoh

Ramai yang memilih tarikh 8 Syawal atau lebih dikenali dengan ‘hari raya enam’ di Terengganu untuk mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri termasuk beberapa pemimpin negeri.

Antaranya Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A. Latif Awang; Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, YB Roslee Daud serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar memilih untuk mengadakan rumah terbuka pada hari ini.

Tinjauan Teganukita mendapati rumah terbuka yang dianjurkan Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri di kediamannya cukup meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum.

Majlis bermula jam 10.30 pagi itu ternyata mendapat sambutan bukan sahaja masyarakat Melayu malah kaum Cina juga bersama-sama meraikan hari bersejarah umat Islam ini.

Dato’ Mohd Nasir bersama isteri Toh Puan Sabariah Muhammad Yusof turut mengambil kesempatan tersebut untuk beramah mesra dengan tetamu yang hadir sambil menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak.

Orang ramai disajikan dengan pelbagai juadah popular Terengganu antaranya nasi dagang, nasi minyak, sate, ketupat, tapai, nasi himpit, air cendol dan pelbagai lagi.

Selain menjadi medan merapatkan hubungan, majlis sebegini sangat bermakna kerana dapat mempertemukan pemimpin dengan masyarakat setempat dalam suasana yang lebih santai dan mengeratkan silaturahim sekali gus menunjukkan sokongan padu penduduk terhadap setiap program anjuran pemimpin mereka.

 

No comments: