Halaman

08 August 2013

Sambut Aidilfitri penuh kesyukuran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak rakyat negeri ini menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh rasa syukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, termasuk suasana aman dan damai.

Beliau berkata, rakyat negeri ini amat bertuah kerana dapat menyambut hari lebaran bersama-sama anak isteri, saudara mara dan rakan taulan dalam keadaan yang aman tanpa sebarang gangguan dan ancaman keselamatan.

Katanya, suasana di Terengganu dan Malaysia amat jauh berbeza dengan negara-negara luar yang bergolak dan menghadapi peperangan akibat keadaan politik negara mereka yang kurang stabil.

 “Saya mahu rakyat negeri ini mempertahankan keamanan yang kita kecapi ini dan terus mendokong kerajaan supaya negeri Terengganu dan negara Malaysia menjadi lebih stabil di masa depan.

“Jika kuasa politik kita stabil dan ekonomi negara semakin kukuh, sudah tentu negara kita sukar diugat oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat kejatuhan negara kita,” katanya ketika ditemui di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud mendoakan agar seluruh rakyat negeri ini terus berpeluang merayakan Aidilfitri dalam keadaan aman dan dilindungi daripada mereka yang berniat jahat dan mahu menimbulkan huru hara dalam negara.

 “Ambilllah kesempatan menyambut hari raya ini dengan menerusukan amalan kunjung mengunjungi dan ziarah menzirahi sesama kita sepanjang musim perayaan ini.

 “Kukuhkan silaturahim dan ketepikan segala selisih faham sebelum ini. Jadilah rakyat yang terus bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut meminta anak-anak Terengganu yang berada di perantauan supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang serta memandu mengikut peraturan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini.

“Sekali lagi Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin,” katanya.



No comments: