Halaman

11 August 2013

Tapai pulut penyeri Aidilfitri

Oleh; Esah Abdullah 

Tapai menjadi menu wajib masyarakat di Terengganu ketika menyambut hari raya, di samping ketupat tanpa kedua-dua hidangan tersebut seperti tidak lengkap meraikan kejayaan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

Bagi Puan Jamilah Ombong, 58, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, beliau merupakan orang paling sibuk setiap menjelang sambutan Aidilfitri kerana menerima tempahan pengemar tapai.

Musim perayaan tahun ini beliau menerima tempahan lebih 17,000 biji tapai (150 kilogram beras) dan ini belum dikira tampahan untuk majlis rumah terbuka orang persaorangan atau jabatan kerajaan.

 Beliau terpaksa menggunakan khidmat tiga orang pembantu untuk membungkus tapai yang turut dibantu suami dalam urusan mendapatkan bekalan daun pokok getah.

Katanya beliau mengenakan bayaran RM15 bagi sekilogram beras yang boleh menghasilkan kira-kira 110 biji tapai jika beras disediakan olehnya, namun jika dibekalkan sendiri hanya RM10 bagi sekilogram.

Sebenarnya tempahan untuk membuat tapai ini bukan sahaja diterima ketika menyambut hari raya malah pada majlis kenduri kahwin beliau tidak pernah menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

Apa yang menjadi rahsia tapai Puan Jamilah ini sangat digemari ialah kerana rasanya enak serta manisnya yang sekata membuatkan ramai yang mencari beliau bila memerlukan makanan tersebut.

Di samping tapai beliau turut menerima tempahan membuat ketupat pulut namun beliau tidak mampu menerima tempahan lebih kerana proses membuat ketupat lebih rumit.