Halaman

05 August 2013

Terengganu persiap ketahanan mental pelajar

Oleh: Matura Jamaluddin 

 Kerajaan negeri mempersiapkan pelajarnya yang akan dihantar ke luar negara dari segi mental dan fizikal bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala tidak sihat .

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, PengajianTinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib berkata mereka perlu dipersiapkan bagi menghadapi cabaran seperti pergolakan politik sewaktu berada di negara asing.

 "Kita mahu menyediakan ketahanan mental mereka. Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti rampasan kuasa dan tunjuk perasaan di luar negara, mereka akan mampu menghadapinya," katanya ketika menutup kem persediaan pelajar Terengganu ke luar negara di sini hari ini.

 Beliau berkata persiapan itu juga bagi memastikan pelajar tidak mudah diganggu atau dihasut oleh anasir subversif yang boleh merosakkan diri mereka, negara dan agama.

Ghazali berkata, kerajaan negeri tahun ini memberi tumpuan kepada penghantaran pelajar ke Jordan, Maghribi dan Rusia bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan pengajian Islam.

 Kem itu mempersiapkan 26 pelajar yang akan dihantar ke Timur Tengah manakala lebih 40 pelajar ke Rusia yang sebahagian besarnya ditaja Yayasan Terengganu, selain pelajar persendirian.

 Mengenai keadaan pelajar Terengganu di Mesir yang sedang bergolak, YB Ghazali berkata terdapat pelajar yang enggan dibawa pulang kerana selesa belajar di sana dan pengajian mereka hampir selesai.

 "Namun kita nasihatkan supaya mereka pulang ke tanah air sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan September ini," katanya.