Halaman

06 August 2013

Tiada penyelewengan pada PRU-13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pihak pembangkang gagal membuktikan berlaku penyelewengan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), termasuk isu pengundi Bangladesh dan ‘black-out’ apabila semua petisyen yang mereka failkan ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Sebanyak 23 petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bagi mencabar keputusan PRU-13 yang diadakan Mei lalu yang melibatkan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen.

Bagaimanapun, sehingga ini semua petisyen yang difailkan atas bermacam-macam dakwaan telah ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Sewaktu mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata walaupun pembangkang membuat pelbagai dakwaan kononnya berlaku penyelewengan pada PRU13, mereka gagal menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

“Ini membuktikan dakwaan pembangkang kononnya berlaku penyelewengan pada PRU-13 adalah tidak benar,” kata beliau di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, melahirkan rasa hairan bagaimana orang ramai, termasuk golongan terpelajar dan profesional boleh mempercayai pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang pada proses PRU-13 yang lalu.

Katanya, isu 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh membuang undi pada PRU-13 langsung tidak masuk akal kerana ia memerlukan penyediaan logistik yang rapi untuk membawa mereka masuk ke negara ini.

Beliau berkata, jika pembangkang mendakwa mereka diimport ke negara ini, beratus-ratus pesawat diperlukan untuk membawa mereka ke Malaysia dan 1,000 bas untuk mengangkut mereka ke pusat pengundian.

“Di mana pesawat berkenaan mendarat dan dari mana datangnya bas yang banyak untuk membawa pengundi Bangladesh itu?,” soal beliau.

Katanya, penduduk negeri ini perlu rasional dalam memastikan dakwaan pembangkang kerana sebahagian besar dakwaan yang dibuat langsung tidak masuk akal.



No comments: