Halaman

06 August 2013

Tidak sabar nak sambut raya

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih) 

“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya menerima bantuan pakaian raya dan tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri serta bergaya dengan baju baru yang diterima,” kata Nik Mohd Rasul Nik Soekery, 16, dari Asrama Perkaya Besut.

Beliau tersenarai antara 250 pelajar anak yatim dan pelajar fakir miskin yang menerima Pengurniaan Sumbangan Pakaian Hari Raya dalam majlis yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu semalam.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin telah menyempurnakan majlis berkenaan.

Bagi adik Nur Fatimah Awang, 14, dari Asrama Darul Falah berkata amat bersyukur dengan bantuan yang diterima dan akan menggunakan duit bantuan untuk tujuan persekolahan serta ingin bergaya dengan baju baru yang diterimanya.

 “Saya gembira kerana dipilih sebagai seorang penerima bantuan dan bersyukur kerana tidak perlu menyusahkan ibu bapa untuk membeli barang kelengkapan sempena hari raya nanti,” katanya yang mempunyai enam adik beradik.

Adik Mohd Tirmizi Azri, 14, dari Batu Rakit mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sangat perihatin terhadap golongan anak yatim seperti kami dan dapat sambut ketibaan Aidilfitri dengan penuh ceria.

“Saya gembira kerana mendapat baju raya yang cantik dan tidak sabar untuk menyambut hari raya pada tahun ini. Terima kasih dengan bantuan yang diberi,” katanya yang mempunyai lima beradik dan sudah 2 tahun tinggal di Asrama Darul Falah.

Nur Syafiqah Mohd Ali, 15, dari Asrama Perkaya Besut pula tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kerana mendapat dua pasang baju kurung untuk digayakan pada hari raya nanti.

“Saya ada lima beradik dan jika tidak terpilih menerima bantuan seperti hari ini tentu saya tidak mampu mendapat pakaian secantik ini,” katanya.