Halaman

25 August 2013

Umno perlukan kerjasama sepasukan, kolektif : Haji Mohd Zubir

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam mana-mana pengurusan dan juga organisasi yang berkesan, kerjasama sepasukan dan usaha secara kolektif amat penting. Demikian juga dalam Umno, kata Timbalan Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, berkata seorang pemimpin yang hebat, bagus dan berkesan tidak akan mampu menjadi hebat jika hanya mementingkan peribadi berikutan pengurusan pada hari ini berbeza berbanding sebelum ini.

“Pemain bola sepak profesional dunia sekalipun, dia hanya tampil hebat apabila bermain sepasukan, iaitu disokong oleh rakan sepasukan yang lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di rumah beliau, di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Oleh itu, jika berpeluang mengetuai Umno Bahagian Kuala Terengganu nanti, Haji Mohd Zubir mengharapkan gandingan beliau bersama timbalan, naib serta jawatankuasa dan juga ahli perwakilan mahupun ahli Umno yang lain perlu tahu bahawa perjuangan pertubuhan bangsa Melayu itu bukan hanya untuk peribadi, malah lebih kepada sepasukan.

Katanya, beliau memerlukan sokongan semua pihak khususnya yang menduduki jawatankuasa ataupun sesiapa sahaja bagi memastikan usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara itu perlu digerakkkan secara bersepadu, kolektif dan berpasukan.

“Sekarang ini bukan masanya mementingkan individu kerana dengan cara itu ia tidak boleh bertahan lama. Jika dahulu memang individu dan kita melihat bahawa usaha sebegini pada hari ini memerlukan sokongan semua orang.

“Malah, kita tidak boleh lari dari perjuangan agama bangsa dan negara, pendekatan kita haruslah mengikut `Ar-Rahman dan Ar-Rahim, `Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’, bermakna kita harus memiliki sifat kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan untuk sesekali tidak mendedahkan keburukan orang, sebaliknya memberitahu segala kebaikan dan kekuatan yang ada sebagai tanda kebijaksanaan dan mewujudkan persaingan yang sihat.

Pada masa yang sama, Haji Mohd Zubir juga yakin dan percaya masyarakat serta ahli Umno di Kuala Terengganu khasnya, memiliki wadah yang sama sebagaimana beliau serta bersedia memilih pemimpin yang dapat membawa mesej berkenaan sepanjang hayat.