Halaman

29 August 2013

Umno Terengganu serah kepada perwakilan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Umno Terengganu menyerahkan kepada ahli Umno di bahagian masing-masing bagi menentukan kepimpinan mereka dalam pelbagai jawatan di peringkat bahagian pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung Oktober ini.

Dato' Seri Haji Ahmad said
Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata terpulang kepada perwakilan untuk membuat pilihan mengikut kebijaksanaan masing-masing bagi mengetuai kepimpinan umno bahagian.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan sekiranya berlaku pertandingan, bertandinglah dengan cara yang sihat dan mestilah akur dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan.

“Menang dan kalah adat pertandingan, tetapi janganlah jika kita kalah sehingga terbawa-bawa kepada merosakkan parti, perpaduan yang akhirnya melemahkan parti, “ katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Dato’ Mat Razali Kassim.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga meminta supaya mengelakkan pertelingkahan dan berjiwa besar dalam usaha memperkasa dan mengukuhkan penyatuan di kalangan ahli dan kepimpinan parti itu.