Halaman

26 September 2013

14.3 juta pengguna internet terdedah penjenayah siber

Oleh; Esah Abdullah 

Daripada kira-kira 14.3 juta pengguna komputer dan internet di negara ini didapati kurang dari satu peratus sahaja pengguna yang mempunyai kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan internet.

Peserta kursus bersama  Jazanul Azriq Aripin fasilitator Cyber Security (tengah)
Ketua Jabatan Outreach Cyber Security Malaysia (OCSM), Encik Rosli Yahil berkata, kurang kesedaran itu menyebabkan ramai pengguna mudah ditipu oleh `penjenayah siber’ yang disebarkan dalam internet bagi mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah.

“Sehubungan itu 14.3 juta pengguna internet dilihat amat terdedah dengan penipuan siber kerana sikap mengambil mudah terhadap apa yang mereka perolehi melalui alam siber.

 “Ini kerana banyak kes-kes yang dikenalpasti pengguna mudah terpedaya dengan rakan yang dikenali dalam talian termasuk penipuan dengan helah penghantaran barang, menjadi keldai dadah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penutup Kursus Cyber Safe kepada guru-guru pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri di Marang.

Menurutnya,  OCSM di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu melalui program outreach sedang berusaha untuk meningkat kesedaran mengenai penggunaan komputer dan internet kepada pengguna.

 Katanya, pada masa ini OCSM mengadakan kerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengadakan kursus tersebut kepada pemimpin persatuan di seluruh negara.

``Melalui program ini diharapkan pemimpin terbabit dapat menyalurkan maklumat kepada pemimpin dan ahli-ahli lain mengenai keselamatan komputer dapat ditingkatkan,” katanya.

Seramai 20 peserta terdiri daripada pemimpin persatuan pandu puteri negeri dan daerah menghadiri kursus selama tiga hari yang bertujuan memberi pendedahan mengenai kerselamatan penggunaan siber.

No comments: