Halaman

15 September 2013

1818 sekolah rendah tubuh Kelab Doktor Muda

Oleh: Noraini Jusoh

Terdapat 1818 buah sekolah rendah di seluruh Malaysia menubuhkan Kelab Doktor Muda sehingga Jun 2013 sejak ia pertama kali diperkenalkan di Sekolah Kebangsaan Seri Biram, Pahang pada tahun 1989.

Program Doktor Muda merupakan program promosi kesihatan berasaskan sekolah yang dilaksanakan secara usahasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan.

Bermula tahun 2006, Kementerian Pendidikan mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah rendah dan dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.

 Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sehingga Jun 2013, seramai 48,339 murid Tahun 4, 5 dan 6 membabitkan 1,634 Sekolah Kebangsaan, 117 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 67 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menjadi ahli Kelab Doktor Muda.

“Program Doktor Muda bermatlamatkan melahirkan murid yang mementingkan dan mengutamakan kesihatan. Murid yang dilantik menjadi doktor muda berfungsi sebagai pembimbing rakan sebaya yang bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan yang positif di kalangan pelajar lain.

"Kementerian Kesihatan juga menyediakan modul pengajaran, garis panduan kokurikulum dan bahan pengajaran khas kepada guru penasihat dan doktor muda dalam membantu membina keyakinan doktor muda, menyampaikan maklumat kesihatan kepada rakan sebaya," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Mohd bin Jusoh ketika merasmikan majlis penutup Kem Kesihatan Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan 2013 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, angka tersebut dilihat masih kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sekolah rendah di Malaysia.

Justeru, beliau mengharapkan Program Doktor Muda akan berkembang lebih jauh lagi pada masa akan datang.