Halaman

26 September 2013

200 sedia cemerlang PMR

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Sebahagian pelajar yang menyertai kem.
KUALA NERUS: Seramai 200 pelajar dari 26 buah sekolah seluruh negeri Terengganu berkampung selama tiga hari di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal, di sini, berakhir hari ini mengikuti Kem Kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai persediaan akhir menghadapi peperiksaan itu yang akan bermula 2 Oktober ini.

Kem anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan dibiayai oleh kerajaan negeri itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian keputusan PMR di negeri ini dan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dengan keputusan 8A.

Jurucakap Urusetia kem, Ku Zaifulizam Ku Abu Bakar, berkata, kebanyakan pelajar yang menghadiri kem ini menunjukan komitmen yang tinggi untuk mencapai keputusan baik dalam peperiksaan PMR nanti malah masing-masing mahukan keputusan 8A.

“Pihak urusetia dan penceramah yang menjayakan kem ini sudah memberi mereka ilmu yang berguna untuk cemerlang dalam PMR nanti. Walaupun hanya dalam masa tiga hari tetapi mereka banyak mendapat manfaat daripadanya dan kami semua mengharapkan semua pelajar yang hadir kem ini akan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Ismail...kongsi ilmu.
Sementara, wakil JPNT, Pengetua Sekolah Menengah Sultan Mizan, Ismail Kusri dalam ucapan perasmian penutup kem itu, berkata beliau mengharapkan semua pelajar akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR nanti.

“Saya mengharapkan semuanya akan berjaya dan tiada lagi yang akan kecewa. Itulah harapan saya dan harapan JPNT. Saya mengharapkan pelajar semua memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan negeri dan yang paling penting ialah sumbangan kepada diri kita sendiri,” katanya.

Ismail berkata, dalam tempoh yang terdekat ini, beliau mengingatkan kepada pelajar supaya berkongsi segala ilmu yang mereka perolehi dengan kawan-kawan yang tidak menghadiri kem itu apabila pulang ke sekolah masing-masing.

“Apabila balik nanti ceritalah kepada kawan-kawan apa yang pelajar semua perolehi sepanjang tiga hari di sini. Kejayaan kita akan lebih manis kalau kita berjaya membantu rakan-rakan kita,” katanya.


No comments: