Halaman

01 September 2013

24 Pasangan bersyukur atas kelahiran bayi

 Oleh: Suriati Ali 

Sambutan kemerdekaan negara kali ke-56 bukan sahaja disambut penuh semangat patriotik malah dengan rasa kesyukuran bagi 24 pasangan ibu bapa di seluruh negeri ini apabila dikurniakan cahaya mata sempena tarikh bersejarah Negara, semalam.

Ibu kepada bayi Merdeka pertama yang dilahirkan iaitu Noraini Mamat, 32, melahirkan rasa syukur dan bangga apabila dapat menimang cahaya mata ketiga sempena tarikh kemerdekaan negara.

Jelasnya yang berasal dari Felda Kampung Rahmat, Setiu, dia dijangka melahirkan bayi seberat 3.2 kilogram berkenaan pada 4 September depan namun surirumah itu tidak menyangka dapat melahirkan bayi lelaki itu tepat pukul 12.21 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Ada dua benda yang mengejutkan saya iaitu pertama perlu melahirkan anak awal daripada tarikh sepatutnya dan bayi saya adalah lelaki kerana sebelum ini ketika buat pemeriksaan adalah bayi perempuan.

 "Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dan mungkin ada rahmat dia dilahirkan sempena tarikh bersejarah hari ini dan saya harap dia dapat berkorban dan menjaga negara dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi seperti mana tarikh hari lahirnya.

 “ Saya juga menyokong jika dia mahu menjadi polis atau tentera apabila besar nanti," katanya.

 Bagi Maisarah Mat, 33, dari Seberang Takir, dia amat gembira dan bangga dapat melahirkan bayi Merdeka pada pukul 1.09 pagi tadi dan berharap anak sulungnya ini dapat membanggakan dia dan suaminya serta mengharumkan nama negara satu hari nanti.

 "Sepatutnya saya lahirkan dia pada 28 September depan tetapi semalam rasa sakit dan terpaksa melahirkan dia walaupun masih belum cukup bulan dan ketika dilahirkan bayi saya seberat 2.5 kilogram sahaja.

 "Namun saya harap dia mempunyai jiwa yang besar untuk menjadi anak yang berguna pada masa depan dan mahu dia membanggakan saya dan suami suatu hari nanti dengan melakar pelbagai kejayaan," jelasnya.

Sementara itu, seramai 13 bayi perempuan dan 11 bayi lelaki selamat dilahirkan di seluruh negeri ini di mana bayi pertama Merdeka dilahirkan pada pukul 12.24 pagi di HSNZ.