Halaman

26 September 2013

500 Hadir Solat Hajat SMTI

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Sebahagian bapa yang hadir mengaminkan doa.
SETIU: Sebagai tanda sokongan kepada anak-anak mereka yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, lebih 500 ibubapa hadir menjayakan Majlis Solat Hajat Perdana Sekolah Menengah Tengku Ibrahim (SMTI), di dewan sekolah itu, di sini, malam semalam.

Majlis dimulai dengan acara temu murni antara ibubapa pelajar dengan guru-guru sebelum menunaikan solat magrib berjemaah di dewan sekolah itu. Selepas itu bacaan yassin beramai-ramai diadakan dan diikuti dengan solat Isyak berjemaah sebelum hadirin menunaikan solat hajat.

Beberapa pelajar membaca surah yassin.
Pengetua SMTI, Abdullah Mat Nor berkata, solat itu hajat membabitkan pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengan Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ibubapa yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak masing-masing kerana hadir ke majlis solat hajat ini. Semoga dengan sokongan ibubapa semua, dapat mempertingkatkan lagi kecemerlangan akademik sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, wakil kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Setiu, Alias Hussin dalam ucapanya meminta ibubapa memahami situasi anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan dalam masa terdekat ini.

Alias mewakili PPD Setiu.
“Saya percaya ada sebahagian anak-anak kita menghadapi tekanan, peranan kitalah untuk membimbing, membawa persediaan minda kepada anak-anak, sebab di sekolah anak-anak sudah diberi ilmu yang cukup. Tugas kita di rumah ialah untuk membantu, membimbing dari segi minda bagi mengurangkan tekanan mereka.

“Kita juga hendaklah memastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan sihat terutamanya menjelangnya peperiksaan nanti supaya mereka boleh menduduki peperiksaan dalam keadaan baik,” katanya.


 

No comments: