Halaman

20 September 2013

AMANITA eratkan Polis dengan komuniti


Ahli AMANITA berkunjung ke rumah seorang penduduk di Seberang Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Kumpulan “Peace Lady” (AMANITA) yang ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pegawai dan anggota wanita berperanan menjadikan golongan suri rumah sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah setempat.

AMANITA yang diketuai oleh seorang Pegawai Wanita berpangkat Inspektor menggerakkan ahlinya menemui komuniti di setiap kampung sambil beramah mesra dan menyampaikan maklumat mengenai tanggung jawab polis bersama masyarakat.

Usaha yang dilakukan AMANITA Daerah Besut yang memulakan gerak kerja mendampingi masyarakat khususnya mendekati surirumah satu usaha murni dan mendapat kerjasama baik oleh penduduk daerah itu.

Kehadiran ahli AMANITA secara berkumpulan lengkap dengan pakaian seragam Polis menguatkan lagi kepercayaan suri rumah untuk memberi kerjasama dalam pelbagai aspek keselamatan selain dapat mengemukakan pelbagai aduan mengenai keadaan keselamatan di kampung masing-masing.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, menjadi pilihan pertama AMANITA Daerah Besut untuk menggerakkan aktiviti ahli menemui suri rumah sambil bertanya kabar mengenai keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.

Program di bawah National Blue Ocean Strategi (NBOS) itu memberi peluang kedua belah pihak mendapat maklumat semasa dan memudahkan pihak polis mengambil tindakan hasil maklumat daripada suri rumah yang ditemu bual ketika mengadakan sesi kunjungan hormat ke rumah terpilih.

Penaung AMANITA Besut, Inspektor Azirah Arshad yang mengetuai kumpulan itu bersama lapan anggota lain berpeluang menyampaikan penerangan mengenai issue semasa selain meklumat berhubung keselamatan.

Malah, program itu mendapat maklumat dua hala apabila suri rumah yang ditemubual turut berkongsi maklumat dan memaklumkan apa saja yang mereka lihat mengenai kalibat orang yang tidak dikenali masuk ke kawasan perumahan terbabit.

Azirah berkata, kehadiran ahli kumpulan itu sebenarnya dapat membantu polis kerana suri rumah memberi kerjasama baik dan berani menyampikan sesuatu masalah yang berlaku di tempat mereka.

Sebenarnya, kata Azirah pegawai AMANITA berperanan sebagai perantara untuk mendapatkan sebarang maklumat khususnya yang berunsur jenayah daripada golongan suri rumah.

“Maklumat yang diterima daripada mereka kemudian akan disalurkan kepada pihak jabatan atau unit berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, ahli kumpulan itu akan bergerak dari masa ke semasa menemui suri rumah sekitar daerah itu secara berperingkat dan orang ramai dinasihatkan jangan panik dengan kehadiran mereka kerana ia dilakukan menerusi JKKK di kawasan masing-masing.


No comments: