Halaman

14 September 2013

Bangunkan hab kesenian di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebuah hab kesenian akan dibangunkan di Marang dalam usaha memastikan daerah itu memiliki identiti tersendiri dalam menyemarakkan budaya dan warisan setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata kawasan strategik untuk membangunkan pusat itu adalah berdekatan jeti Marang berikutan tarikan alam semula jadi dan persekitaran yang menarik.

“Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Marang baru-baru ini, saya mencadangkan satu hab kesenian diwujudkan di daerah ini, berdekatan jeti Marang.

“Saya berharap cadangan saya ini mendapat sokongan semua pihak termasuk Pegawai Daerah dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah Marang untuk melihat kawasan yang sesuai di muara sungai itu untuk kita bangunkan pusat yang akan menempatkan aktiviti kesenian lebih terancang dan terus bersemarak,” katanya di Program Merakyatkan Seni Budaya Malam Kesenian Daerah Marang, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya Marang, malam tadi.

Majlis anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Terengganu turut dihadiri penggiat seni di seluruh Marang.

YB A Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, kewujudan pusat kesenian itu kelak bukan sahaja memberi identiti tersendiri kepada aktiviti seni sosial dan budayaan yang ada di Marang, malah dapat dipentaskan untuk tatapan ramai supaya terus dikenali generasi muda.

“Inisiatif menghidupkan aktiviti budaya juga dapat menghalang seni kita hilang ditelan dek zaman, memupuk semangat kekitaan dan perpaduan lebih jitu, sekaligus mewujudkan budaya patriotisme serta perasaan cintakan tanah air di kalangan semua generasi.

“Marang mempunyai banyak kesenian tetapi tidak dieksploitasi dengan betul dan secara sistematik, malah kita juga mempunyai keadaan muka bumi yang menarik, dengan bukit-bukau, muara sungai, pantai, lagun, pedalaman dan juga pekan yang menyimpan pelbagai khazanah dan budaya tersendiri,” katanya.