Halaman

19 September 2013

Budaya integriti perlu sokongan semua

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembudayaan integriti memerlukan sokongan semua pihak termasuk kepimpinan dan masyarakat bagi memastikan negeri dan negara amnya, kekal berada pada landasan keamanan dan kemakmuran.

Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, YB Haji Bazlan Abd Rahman, berkata komitmen masyarakat amat dituntut bagi menjayakan usaha itu kerana jika hanya pihak kerajaan sahaja komited mengamalkannya pasti usaha itu sukar direalisasikan.


“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu juga perlu melaksanakan tugas dengan telus dan amanah bagi mengelak tercetus kemarahan rakyat kepada pihak kerajaan.

“Setiap kakitangan harus menanam nilai murni dan jiwa yang lebih baik tulus dan ikhlas supaya mampu mewariskannya kepada generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Forum Ke Arah Membudayakan Intergriti Dalam Kalangan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu di Hotel Prinz Park,Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Institusi Integriti Malaysia, Dr A Bakar Sarpon; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin tengku Abdul Jalil.

Haji Bazlan berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke- 54 dalam indeks persepsi rasuah daripada 176 negara pada tahun lalu, iaitu semakin meningkat berbanding kedudukan ke-60 dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, Singapura pula berada pada 10 kedudukan terbaik, maka itu menjadi cabaran kepada kita khususnya pihak PBT untuk menjamin berada pada tahap lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, PBT harus menyokong kesungguhan kerajaan dengan mengamalkan sikap tulus, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tugas bagi memerangi gejala rasuah yang boleh mengancam kepada kestabilan ekonomi dan keamanan negara.


No comments: