Halaman

27 September 2013

Cabaran hari keenam bermula

Oleh: Aida Abd Rahman

Misi Mohd Noor Mat menamatkan perjalanan hingga ke Putrajaya kini memasuki peringkat keenam melibatkan laluan sejauh 44.4 kilometer (km), bermula dari Padang Astaka, Chukai, ke Hentian Sebelah, Kuantan, di Lebuhraya Pantai Timur, pagi ini.

 Peserta utama Walk4Malaysia itu memulakan langkah sebaik selepas majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, YB Wan Hakim Wan Mokhtar, kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha.


Orang ramai turut membanjiri tapak majlis pelancaran itu, selain menyertai senamrobik dan cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur program.

Malah, warga Kemaman ternyata memberi sokongan jitu kepada peserta Walk4Malaysia yang tetap bersemangat menyahut cabaran itu, selepas berjaya mengharungi peringkat kelima, dari Paka ke Chukai sejauh hampir 54 km, semalam.

Dengan sokongan pasukan pengiring dan peserta yang turut berjalan bersama beliau, kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu turut mendapat suntikan semangat dari orang awam yang ditemui sepanjang perjalanan itu.

Mohd Noor bersama 40 peserta lain yang turut mengiringi langkah beliau, berhenti rehat dan menunaikan solat Jumaat di Cherating, Kuantan pada tengahari tadi, sebelum meneruskan perjalanan yang dijangka akan tamat bagi peringkat itu pada jam 10 malam ini.

Beliau diiringi atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sudah menamatkan misi berjalan kaki sejauh kira-kira 260 kilometer (km) daripada jumlah 600 km yang disasarkan.

Bermula peringkat dan hari ketujuh, Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari entian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.


No comments: