Halaman

26 September 2013

Derma darah untuk selamatkan insan lain

Oleh; Esah Abdullah

Walaupun hanya melalui satu pin darah yang didermakan dan tidak dapat mendapat jaminan sepenuhnya menyembuhkan pesakit tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan terpaksa ditanggung oleh mereka yang memerlukan.

Tengku Sharun Tengku Hussin
“Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk saya terus menderma,” kata Tengku Sharun Tengku Hussin, 51, yang telah menderma sebanyak 115 kali sejak 31 tahun lalu. Bapa empat anak itu bekerja sebagai Pembantu Rendah Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan merupakan penderma darah yang paling aktif di negeri ini. 

Beliau yang ditemui pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di Pulau Wan Man, itu berkata, selagi masih ada hayatbeliau akan terus menderma darahnya untuk meringan beban mereka yang memerlukannya. 

Katanya, beliau tergerak hati menderma darah pada 1982, kerana ingin membantu anak seorang rakan sepejabat yang mempunyai masalah kekurangan darah akibat penyakit leukemia. 

“Walaupun tindakan tersebut tidak dapat menyembuhkan penyakit yang dialami anak rakannya tetapi bermula saat itu timbul keinsafan dan ingin membantu mereka yang memerlukan selagi masih terdaya. 

Encik Zakarian dan isteri Puan Maziah

Malah beliau pantang berjumpa rakan-rakan terus berkempen supaya dapat menderma darah bagi meringankan bebanan mereka yang sedang menghadapi kesukaran hidup. 

Sementara itu, seorang penderma aferesis teraktif, Encik Zakaria Omar, 38, berkata, dia mula menderma darah semasa remaja setelah menerima ajakan daripada teman-teman dan mula menjadi penderma aferesis pada tahun 2000. 

“Sebenarnya kita juga boleh menjadi penderma komponen tertentu saja dalam darah yang dipanggil pendermaan aferesis. Aferesis bermakna pendermaan satu komponen darah sama ada plasma, platelet atau kedua-duanya sekali. 

“Bagi pendermaan ini, sel darah merah akan dikembalikan ke dalam badan menggunakan mesin khas tetapi jarak menderma hanyalah dua minggu sekali berbanding untuk derma darah biasa, tiga bulan sekali,” katanya yang merupakan seorang peniaga dari Kampung Banggol Peradong dan telah menderma aferesis sebanyak 149 kali. 

Menurutnya, pihak hospital akan menelefonnya sekiranya memerlukan aferesis miliknya untuk didermakan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. 

Bagi isterinya, Puan Maziah Ismail, 38, apa yang dilakukan oleh suaminya disokong sepenuhnya memandangkan dia juga pernah menanggung derita sakit buah pinggang selama 10 tahun sebelum menerima derma.
 

No comments: