Halaman

19 September 2013

Fakruddin tabah jalani kehidupan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Fakruddin aktif walaupun OKU.
BERBEKALKAN minyak urut dan sebatang kayu kecil, Fakruddin atau nama penuhnya, Fakruddin Zakaria, akan memenuhi permaintaan siapa sahaja yang mahu mendapat khidmatnya untuk mengurut cara refleksologi terutama pelanggan tetapnya dengan mengenakan bayaran yang berpatutan.

Pemuda yang pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini tidak pernah menyesal walaupun tidak dapat menamatkan pengajiannya dan gagal memperolehi segulung diploma kerana di serang penyakit saraf yang menyebabkan dia tidak bergerak selama beberapa bulan kerana lumpuh dari pinggang ke bawah.

“Saya sedang hampir menamatkan pengajian iaitu pada semesta akhir saya tiba-tiba mengalami jangkitan kuman pada tulang menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong hingga ke paras lutut dalam tempoh hanya sebulan terkena penyakit itu.

 “Sebelum itu saya sudahpun bertongkat kerana menghidap spinal iaitu sejenis penyakit yang membabitkan saraf selepas terjatuh di sekolah ketika dalam darjah dua,” cerita Fakruddin yang berusia 33 tahun dan masih bujang itu.

 Akibat penyakit itu, Fakruddin yang tinggal di Kampung Tuan Mandak, Batu Enam, Kuala Terengganu itu, mengalami kemurungan hampir lima tahun dengan hanya tinggal di dalam rumah kerana tidak boleh melakukan sesuatu pekerjaan akibat penyakit yang anggap misteri menimpa dirinya itu.

 “Selama lima tahun saya buntu, hanya terlantar di katil dan bergerak di kawasan rumah sahaja dengan kerusi roda. Fikiran saya tidak berfungsi untuk berfikir bagi meneruskan kehidupan sehinggalah saya bertemu dengan kawan-kawan senasib melalui persatuan barulah saya boleh menerima hakikat penyakit saya itu dan dapat meneruskan kehidupan sebagaimana biasa,” katanya.

Mahir urut refleksologi.
Fakruddin yang tinggal bersama bapa saudaranya sejak kecil itu, sememangnya seorang cekal dalam hidup, miskipun tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu sendiri kerana kematian ibu ketika dia dilahirkan namun Fakruddin tetap membesar sebagaimana kanak-kanak.

“Emak meninggal ketika melahirkan saya, dan selepas itu saya tinggal bersama bapa saudara sehinggalah sekarang. Saya sudah anggap bapa saudara saya seperti bapa saya sendiri manakala bapa sendiri saya tidak putus hubungan dengan saya.

“Bagaimanapun, hubungan saya dengan bapa kandung tidak putus kerana saya sering juga ke rumahnya walaupun dia tidak memelihara saya.

"Saya mempunyai empat adik beradik di sebelah bapa saudara dan sebelah bapa saya juga empat beradik, saya anak bongsu” katanya yang turut kehilangan ibu saudara yang memeliharanya beberapa tahun lalu. 

Selain itu, Fakruddin juga penah beberapa kali balik ke kampungnya di Batu Enam, Kuala Terengganu dari Shah Alam dengan menonggang motosikal roda tiga yang memakan masa perjalanan kira-kira 12 jam.

“Saya sudah biasa naik motosikal roda tiga ketika menuntut di Uitm dulu malah beberapa kali saya bagi dengan motosikal itu, walaupun jauh dan memenatkan tetapi saya kuatkan semangat setiap kali perjalanan untuk pulang ke kampung,” katanya. Fakruddin yang kini aktif mengeruskan POKUAT iaitu sebuah persatuan yang menguruskan dan membantu orang yang senasib dengannya.

"Pokuat kini dianggotai lebih 400 ahli dari seluruh Terengganu dan persatuan itu aktif menjalankan pelbagai aktiviti. Terima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan beberapa bantuan untuk Pokuat dan juga kepada seluruh OKU di negeri ini," katanya.


No comments: