Halaman

12 September 2013

Gunung Tebu berpotensi jadi pusat penyelidikan dan eko-pelancongan negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Kawasan berhutan di Gunung Tebu dilihat amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi penyelidikan, rekreasi dan eko-pelancongan terkenal di negara ini

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), (Dasar dan Perancangan) Dato’ Masran Md Salleh, berkata pemilihan gunung itu sebagai tempat ekspedisi saintifik pada tahun lalu bertujuan untuk mengeksplorasi segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di kawasan itu.


“Lebih-lebih lagi, gunung ini merangkumi hutan berbeza iaitu bermula dengan jenis dipterokarp pamah hinggalah ke hutan pergunungan di puncaknya yang semestinya memberikan gambaran sebuah hutan yang cukup unik dan menarik untuk diterokai.

 “Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian yang juga dapat dilihat dari puncak Gunung Tebu,” katanya dalam kenyataan akhbar sempena Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin. Pada 8 hingga 13 Julai 2012, JPSM memilih Gunung Tebu sebagai lokasi Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu.

Manakala seminar kali ini pula bertujuan membincangkan penemuan yang diterokai dalam ekpedisi berkenaan berkaitan kepelbagaian, keunikan dan keistimewaan khazanah flora dan fauna di kawasan persekitaran gunung itu.

Katanya, sebanyak 29 kertas kerja dalam pelbagai bidang kajian merangkumi bidang pengurusan hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna serta persekitaran fizikal dibentangkan dalam seminar itu.

Beliau berkata,seminar itu merupakan siri ekspedisi ke-22 anjuran JPSM sejak 199 dan ketiga di Terengganu selepas meneroka kepelbagaian khazanah hutan di Hutan Simpan Gunung Mandi Angin dan Hutan Rimba Bukit Bauk dalam siri seminar ekspedisi yang lalu.


No comments: