Halaman

03 September 2013

Haiwan peliharaan perlu ada kad pengenalan

Oleh; Esah Abdullah 

Semua pemilik haiwan di negeri ini diminta mendapatkan kad pengenalan haiwan Malaysia (Pet Pasport) untuk haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, kuda dan juga anjing bagi memudahkan proses penyimpanan maklumat serta rekod oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, dokumen pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh JPV itu satu dokumen rasmi melalui Projek Malaysian Animal Traceability System (MATS).


“Kita menggalakkan supaya semua pemilik haiwan peliharaan di negeri ini mendaftar dan juga mempunyai kad pengenalan (pet passport). Apabila mempunyai passport, memudahkan haiwan-haiwan tersebut untuk dibawa ke luar negara dan juga memudahkan rekod kesihatan dikenalpasti dan juga kawalan penyakit.

“Bersempena dengan ulangtahun kemerdekaan negara dan juga Hari Malaysia, promosi percuma terhad kepada dua ekor haiwan sahaja bagi setiap pemilik haiwan untuk mendaftarkan dan memperolehi kad pengenalan sehingga 16 September,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Klinik Veterinar Kuala Terengganu dan juga Promosi Pendaftaran Kad Pengenalan Haiwan Kesayangan, di Jalan Bukit Kecil Kuala Terengganu. Hadir sama, Pengarah JPV negeri, Dr Marzuki Zakaria.

Menurutnya, pasport haiwan ini adalah penting kerana ia mengumpul maklumat penting haiwan kesayangan dalam satu dokumen, yang akan memudahkan pihak berkuasa di sempadan negara untuk mengesahkan rekod kesihatan dan imunisasi haiwan peliharaan menerusi mikrochip ditanam di bawah kulit haiwan peliharaan tersebut.

Selain itu katanya, pada hari biasa pemilik haiwan perlu membayar RM30 bagi mendapatkan kad pengenalan yang sah dalam tempoh setahun, manakala RM10 bagi pendaftaran mendapatkan rawatan dan RM5 untuk rawatan asas seterusnya.

Katanya, kad pengenalan tersebut akan mengandungi gambar haiwan peliharaan, maklumat mengenai haiwan dan pemilik serta rekod perubatan dan pergerakan.

Menurutnya, sekiraya sasaran 1,000 mendaftar di JPV, pihak jabatan bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dengan menyediakan perkhidmatan kawalan berpusat di negeri ini atau GPS/GIS.

Katanya, jabatan akan mengadakan promosi susulan tidak lama lagi di daerah-daerah lain bagi mengalakkan lebih ramai pemilik mendaftarkan haiwan mereka.
 

No comments: