Halaman

25 September 2013

Halim peminat barangan antik.


Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Halim bersama tempayan berusia 50 tahun.
BERMULA hanya dari menyimpan barangan lama milik neneknya sejak beberapa tahun lalu kini seorang peniaga, Abdul Halim Ibrahim, 49, memiliki beberapa koleksi barangan lama dan antik untuk dijadikan perhiasan dan kenangan di dalam rumahnya di Padang Midin, Kuala Terengganu.

Halim yang miliki kedai makan di bazar makan di Batu Batu Buruk itu, begitu meminati barangan-barangan lama terutamanya tempayan yang berusia lebih 50 tahun sehinggakan dia akan membelinya dengan harga yang tinggi jika ada yang mahu menjualnya.

“Saya menyimpan barangan lama ini hanyalah sebagai hobi dan untuk dijadikan kenangan kepada generasi akan datang kerana jika tidak disimpan dan dijaga barangan ini akan menjadi buruk dan pupus,” katanya bapa kepada lima orang anak yang berasal dari Kampung Tanjung itu.

Halim berkata, pada mulanya ia mempunyai sebuah barangan antik sahaja iaitu peti kebal milik datuknya yang dipercayai berusia hampir 100 tahun dan peti kayu itu kini masih kelihatan elok dan boleh digunakan untuk menyimpan barangan berharga.

“Peti Kebal ini mungkin usianya lebih lama lagi kerana datuk saya dahulu membelinya dari orang lain ia mungkin digunakan turun temurun dan kali ini giliran saya. Saya akan menjaganya dengan baik dan mengharapkan dia boleh dilihat oleh cucu cicit saya pada masa akan datang,” katanya.

 Barangan lain yang dimiliki Halim antaranya ialah bekas mandi untuk mandi bagi bagi wanita baru bersalin, seterika arang, almari kayu, penyidai kain kayu, tempat letak lilin antik dan beberapa barangan antik yang lain.

“Kesemua barangan ini berusia lebih 50 tahun dan ia agak sukar untuk diperolehi sekarang, begitu juga dengan penyidai kain kayu yang berusia lebih 70 tahun dan ia begitu unik serta diperbuat dari kayu cengal,” katanya

Menurutnya, buat masa ini dia mahu mendapatkan sebuah jam antik berusia lebih 100 tahun dari seorang jiran tetapi sehingga kini dia gagal mendapatkan jam itu kerana pemiliknya enggan menjual kepadanya.

“Jam itu begitu unit kerana dia mengunakan kunci yang diputar untuk menghidupnya manakala enjinnya masih lagi berfungsi tetapi kerana usianya yang lama, jam itu akan lewat lima hingga 10 minit berbanding jam lain. Saya mengharapkan dapat membeli jam itu walaupun dengan harga yang tinggi,” katanya..

Kukuran milik neneknya juga menjadi koleksi.
Sebagai pencinta barangan antik dan lama, Halim mengharapkan sesiapa yang memiliki barangan itu supaya menyimpanya dengan baik kerana ia memang sukar dan mungkin tidak boleh didapati lagi sekiranya barangan lama dan antik itu rosak ataupun hilang.

“Selain itu, ia juga sebagai perhiasan berharga di dalam rumah dan sekiranya dijaga dengan sempurna ia boleh diwarisi sehingga turun temurun. Semakin lama ia dipelihara sebagai tinggi nilainya,” katanya.


No comments: