Halaman

22 September 2013

Input tambahan setiap negeri mantapkan PIN fasa 3

Oleh: Aida Abd Rahman

Institut Integriti Malaysia (IIM) akan mendapatkan input tambahan dari setiap negeri untuk memantap dan memperkukuhkan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang memasuki fasa ketiga tahun depan (2014-2018).

Timbalan Presiden IIM, Dr A Bakar Sarpon, berkata fasa ketiga agenda PIN itu terus menuntut kepada sokongan semua pihak termasuk penjawat awam supaya pelaksanaannnya mampu menjadi model kepada negara Asean yang lain.

 “Pelan Integriti Nasional yang sedang kita rangka dan susun ini akan terus dimantapkan lagi dengan mendapatkan input dari seluruh negeri dalam usaha kita untuk memastikan negara bergerak ke depan dan lebih dari itu mampu menjadi model kepada rakan kita di negara Asean, termasuk di luar Asean.


“Malah, PIN seumpama Malaysia yang kita bincangkan dalam forum kita ini, sebenarnya tiada di Arab Saudi, Amerika Syarikat, Indonesia dan Timur Leste yang pernah saya pergi dan lihat, memang tiada,” katanya di Majlis Penutup Forum Ke Arah Membudayakan Intergriti Dalam Kalangan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu di Hotel Prinz Park,Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin tengku Abdul Jalil.

Dr A Bakar berkata, IIM yang bertindak sebagai penggerak, pemantau dan bersama semua sektor serta masyarakat menjadi tumpuan pelawat dan delegasi dari luar negara yang berminat untuk mengetahui agenda integriti nasional menerusi PIN, yang mana agenda itu tidak dipraktikkan di mana-mana negara lain di dunia.

 “Dalam konteks kita, mudah sahaja, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat dan bukan penjawat awam sahaja, supaya menjadi warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur, telus, akauntabiliti kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Jika itu dapat dicapai, insya-Allah negara kita akan berbeza dengan negara lain sebagaimana dilihat dalam media massa hari ini, setengah rakyat negara luar panas punggung, mahu melarikan diri dari berada di negara sendiri dan membawa diri ke Malaysia sebagai kawasan paling selamat,” katanya.

Menurutnya, objektif PIN juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, apabila negara mempunyai status dan indikator agak baik dalam pelbagai aspek termasuk indeks berkaitan integriti seperti keharmonian, perpaduan dan perniagaan.

Beliau berkata, pelaksanaan PIN sangat murni nilainya kerana secara umum mendapat sokongan meluas seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor dan agensi apabila kesedaran untuk menghindari rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan ketidakcekapan semakin meningkat.

Katanya, agenda itu memang sukar direalisasikan sepenuhnya dalam masa yang singkat, bagaimanapun prinsip dalam PIN sebenarnya berasaskan dasar terdahulu termasuk perlembagaan persekutuan dan prinsip Rukun Negara.


No comments: