Halaman

23 September 2013

JKKK disaran ronda banteras jenayah

Oleh: Mastura Jamaluddin

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Hulu Terengganu disaran supaya mewujudkan kawalan keselamatan kampung melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Ismail Muslim berkata, inisiatif ini perlu digarap bagi meningkakan keselamatan serta rasa selamat masyarakat akan meningkat, sekaligus ia dapat memenuhi tuntutan syarak iaitu menjaga nyawa dan harta benda.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Kubang Palas, kelmarin, sempena Program Reaching Out Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu bersama rombongan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan anggota pangkat rendah dari IPD Hulu Terengganu.

Turut serta Ketua Polis Balai Telemong, SM Yajid Man bersama anggota Balai Polis Telemong yang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah di masjid berkenaan di Kuala Telemong sebagai atur cara dalam Program Reaching Out bulanan KPD Hulu Terengganu.

DSP Mohd Ismail turut menyampaikan ceramah ringkas berkaitan perkembangan keselamatan semasa yang berlaku di daerah Hulu Terengganu, terutama kes-kes dadah yang ada kaitan dengan kejadian jenayah dan beberapa nasihat kepada jemaah.

Beliau turut meminta kariah masjid masjid itu dan seluruh penduduk di Hulu Terengganu sentiasa memohon perlindungan dan mengadakan solat hajat agar keselamatan dan ketenteraman awam serta kes-kes jenayah yang sering berlaku seperti jenayah melibatkan penagih dadah serta kecurian motosikal dapat dibanteras.

No comments: