Halaman

03 September 2013

JPNT anjur Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Aidilfitri 2013 sempena sambutan kemerdekaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50 selama tiga hari bermula esok (4 September).

Program KMJG Aidilfitri 2013 disertai konvoi kenderaan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dan pertubuhan bukan kerajaan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang akan menjelajah ke seluruh negeri sambil mengagihkan Jalur Gemilang dan mengadakan majlis sambutan Aidilfitri kepada orang ramai di tempat yang ditetapkan.

Ketua Penyelaras KMJG Aidilftri 2013, Rosmawati Mat Nor berkata, lokasi pertama yang akan disinggah oleh konvoi itu ialah di Padang Bola Kampung Pasir Akar, Besut dan seterusnya melalui pekan Jertih sebelum singgah di Kampung Guntong Luar, Setiu.

Katanya, konvoi meneruskan perjalanan ke Kampung Kepah, Hulu Terengganu melalui pekan Sungai Tong, Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, Ajil, Kuala Berang dan seterusnya ke lokasi di Kampung Kepah untuk pengagihan Jalur Gemilang.

Pada 5 September, konvoi akan meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya pantai Timur Ajil-Bukit Besi serta Paka, Kertih dan seterusnya ke Perhentian Teksi Bandar Cukai, Kemaman.

Selepas program di Bandar Cukai, konvoi bertolak ke Dungun bagi meneruskan program pengagihan Jalur Gemilang dan sambutan Aidilfitri di Kampung Tanjung Pagar, Dungun sebelum ke Taman Medan Jaya, Rusila, Marang untuk bersama penduduk di situ meraikan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Rosmawati berkata, lokasi terakhir ialah di Pasar Pagi Kampung Teluk Ketapang iaitu pada 6 September.

Beliau berkata, orang ramai dijemput ke lokasi yang ditetapkan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia selain mewujudkan semangat cinta kepada negara.