Halaman

13 September 2013

JPNV tubuh rumah penyayang

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (JPNV) akan menubuhkan Rumah Penyayang bagi menempatkan kucing terbiar di sekitar Dungun, dalam usaha melahirkan rasa sayang kepada haiwan terutama kucing dalam kalangan masyarakat

 Selain itu, jabatan itu juga akan membuat lawatan ke semua sekolah tadika bagi memberi pendedahan kepada anak-anak kecil supaya menyayangi haiwan berkenaan di usia yang muda.

Ketua Bahagian Regulatari Veterinar, Dr Mohd Hisham Fariz Mohd Amin berkata Rumah Penyayang yang bakal dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Daerah Dungun itu dijangka dapat menempatkan 200 ekor kucing terbiar.

"Kami akan menempatkan beberapa orang pegawai veterinar untuk berkhidmat dirumah ini dan menjaga kucing terbiar samaada yang dihantar oleh orang awam mahupun diambil oleh pegawai kami sendiri.

 "Selain penjagaan makan, pegwai kami juga akan membuat pemeriksaan menyeluruh kepada kucing yang tinggal di rumah ini termasuklah tahap kesihatan, penjagaan, dan juga rekod kucing berkenaan.

 "Malah sesiapa yang berminat untuk membela kucing bolehlah mendapatkannya di rumah berkenaan yang akan diambil secara angkat,"katanya selepas Majlis penyampaian hadiah `Cintai Haiwan Kesayangan' anjuran Jabatan Veterinar Terengganu di Taman Makmur, Sungai Kerak, Marang.

 Beliau berkata, jabatan berkenaan juga berhasrat mewujudkan Rumah Penyayang itu di seluruh negeri Terengganu sekiranya mendapat sambutan baik daripada semua masyarakat.

 Sementara itu, Hisham berkata jabatan berkenaan juga akan melawat seluruh Tadika di negeri ini bagi memberi motivasi kepada kanak-kanak supaya mereka lebih menyayangi haiwan seperti kucing.

 "Buat masa ini kami sedang mendapatkan kelulusan daripada jabatan yang bertanggungjawab terhadap Tabika dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak yang lain untuk meneruskan usaha kami ini.

 "Kami berharap dengan adanya usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah gelandangan kucing yang ada di seluruh negeri ini,"katanya.