Halaman

19 September 2013

Kafa mampu percepatkan proses pembangunan negara

Oleh: Suriati Ali 

 Sistem pendidikan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) akan lebih berfungsi, jika pihak berkaitan melaksanakannya dengan lebih cekap dan berkesan melalui pelan perancangan yang dikemaskini dan tersusun.

 Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Haji Othman Mustapha, berkata strategi itu mampu membantu menjana dan mempercepatkan proses pembangunan negara berteraskan pembinaan modal insan yang bersepadu dari segi pembangunan jasmani, emosi dan intektual.

Katanya sebaliknya pula, kegagalan kita melaksanakan program itu dengan lebih cekap dan berkesan akan membantutkan segala usaha untuk memacu kejayaan lebih cemerlang dalam pendidikan agama peringkat rendah di negara ini.

“Pendidikan Islam dilihat memainkan peranan utama untuk melahirkan guna tenaga manusia yang bukan saja berpengetahuan, mahir dalam pelbagai bidang.

 “Justeru kecemerlangan dan kemajuan negara ini lazimnya mempunyai kaitan antara pemantapan sistem pendidikan dengan perancangan pembangunan negara yang sedang dilaksanakan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika membacakan tek ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom pada Majlis Ijtimak Penyelia-penyelia Kafa peringkat Kebangsaan, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Yb Ghazali Taib dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

 Lebih 300 penyelia Kafa dari seluruh Malaysia menyertai program dua hari dan berakhir hari ini. Pelbagai pengisian dimuatkan, termasuk, motivasi dan ceramah hala tuju serta memperkasakan sistem pendidkan Islam.

 Dato’ Haji Othman turut memberitahu, tugas mendidik anak-anak bukan perkara mudah. Ia merupakan satu tugas yang amat mencabar emosi, fikikal dan intelektual ibu bapa.

 “Kepesatan dan kecanggihan alatan teknologi komunikasi menjadikan anak-anak kita begitu terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh persekitaran mereka,” katanya.

 

No comments: