Halaman

11 September 2013

Kawasan 1,350 hektar bangunkan Setiu Wetlands sebagai taman negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju membangunkan tanah lembap (Setiu Wetlands) seluas 1,350 hektar di Setiu  sebagai taman negeri bagi memulihara ekosistem dan biodiversiti alam semula jadi di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata taman negeri yang pertama seumpama itu di Terengganu dibangunkan mengikut fasa berdasarkan keperluan dan permohonan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).


“Keluasan keseluruhan melibatkan kira-kira 20,000 hektar, bagaimanapun untuk peringkat permulaan kita majukan kawasan seluas 1,350 hektar terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri akan melihat semula kewajaran untuk meluaskan kawasan taman negeri berdasarkan permohonan (Jabatan Perhutanan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (Dasar dan perancangan), Dato’ Masran Salleh dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin.

Hadir sama, Ketua Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad.

Dato’ Ahmad Razif berkata, usaha untuk membangunkan Setiu Wetlands sebagai taman negeri diputuskan dalam seminar pertama yang berlangsung di Terengganu sebelum ini.

"Pada dasarnya, kerajaan negeri bersetuju dan kita akan mewartakan kawasan itu untuk membangunkan satu kawasan yang cantik dan kaya dengan keindahan serta memiliki kelainan flora dan fauna yang jarang ditemui di lokasi lain itu sebagai Taman Negeri.

“Manakala seminar peringkat kebangsaan kali kedua berlangsung di Terengganu ini, berkaitan Seminar Eskpedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu yang diketuai Prof Dr Abdul Latiff merupakan pakar dalam bidang perhutanan,” katanya.

Menurutnya, seminar ekspedisi ini adalah siri yang ketiga selepas kejayaan JPSM meneroka kepelbagaian khazanah hutan di Hutan Simpan Gunung Mandi Angin dan Hutan Rimba Bukit Bauk, Dungun dalam siri seminar ekspedisi yang lalu.

Katanya, pada tahun lalu, Gunung Tebu dipilih sebagai lokasi ekspedisi sepanjang 8 hingga 13 Julai yang bertujuan mengeksplorasi segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di kawasan hutan pergunungan yang indah itu.

 

No comments: