Halaman

18 September 2013

KEHEBATAN INDUSTRI BIOTEK DI TERENGGANU: KILANG BIO-METIONINA DAN ISOBUTANOL DUNIA DI KERTIH BAKAL BEROPERASI MEI 2014

Laporan eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman


 Kilang Bioteknologi yang pertama di dunia bagi penghasilan metionina atau mudahnya difahami sebagai asid amino di Kertih Terengganu dijangka akan memulakan operasi pada bulan Mei tahun depan.
 Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kertih, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina yang pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.
  Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema dari sebuah syarikat Kimia dari Perancis yang terkenal dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.
  CJ merupakan peneraju dunia dalam industri bioteknologi dengan inovasi penapaian dan penulenan, di mana ia juga merupakan pengeluar utama produk-produk berasaskan penapaian dengan operasi perniagaan di enam benua.

  Manakala Arkema pula merupakan syarikat kimia global dan pengeluar bahan kimia khusus yang terkemuka dari Perancis, dengan operasi di lebih daripada 40 buah negara.
 Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdh.Bhd., Azhar Anuar kepada Pengarang Teganukita semalam selepas memberi taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc.
  NSE Corporation adalah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan.
 Semalam Terengganu Inc diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah mengadakan lawatan ke tapak kilang berkenaan di Kertih.
  Turut sama ialah para pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).  Menurut Azhar, boiler wap (Biomass Steam Boiler) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam yang terbesar setakat ini berbanding bolier sedemikian di negara Eropah iaitu Copenhagen, New York hanyalah 144 tan sahaja sejam.
  Katanya, loji biotek itu antaranya mengandungi Boiler Wap sebanyak 11 unit, Boiler Wap Biomass 3 unit, drum wap 3 unit, blower 4 unit, pengering, pelembut dan pelbagai peralatan teknologi biotek lagi.
  Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin, jambatan timbang dan sebagainya turut diadakan dan sedang dalam penyiapan pembinaan.
  Sementara itu, Ketua Pengarah Terengganu Inc. , Dato’ Haji Wan Ahamad mengucapkan melahirkan penghargaan bagi pihak kerajaan negeri di atas kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu, malah pertama seumpamanya di dunia.
  Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mahu melihat kejayaan pembangunan kilang bioteknologi dengan pelaburan RM2 billion oleh gabungan syarikat terkenal dari Prancis dan Korea itu.
  Beliau berharap, bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang ,acacia dan cip kayu yang lain mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baru penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.
Ladang Petai Belalang di Marang

Inilah sumber inovasi dan penemuan baru ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat untuk rakyat negeri Terengganu, katanya.
 Sebelum itu, di sebelah pagi beliau turut melawat ladang Petai Belalang di Pulau Kerengga Marang.