Halaman

18 September 2013

Kem gajah di Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Terengganu terus memperhebatkan produk pelancongan sedia ada dengan mewujudkan kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap akhir tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai,,Thailand dan Kuala Gandah (Pahang).


“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah.

“Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun.

“Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand. “Buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu. 

“Komponen kedua pula akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

“Fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka,” katanya.

 

No comments: