Halaman

02 September 2013

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pantau lagu Negaraku di pawagam

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memantau dari segi pelaksanaan tayangan lagu Negaraku di pawagam-pawagam seluruh negara.

Menterinya, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada keseluruhannya semua pawagam termasuk orang ramai menunjukkan kerjasama.

"Apabila lagu Negaraku berkumandang di pawagam, semua penonton berdiri kecuali ada beberapa insiden kecil di Pulau Pinang dimana ada beberapa penonton yang tidak berdiri tetapi perbuatan tersebut ditegur.

"Ada beberapa tempat di tegur oleh pihak pawagam dan ada juga ditegur oleh penonton-penonton sendiri yang marah sekiranya ada di kalangan penonton yang tidak menghormati lagu Negaraku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Parlimen Kemaman di Pantai Kuala Kemaman, semalam yang dihadiri kira-kira 20,000 orang.

"Keseluruhannya, sambutan adalah baik. Cuma kita akan mendengar maklum balas daripada orang ramai apakah ianya perlu dipanjangkan tempoh atau diulangi pada tahun hadapan berasaskan kaji selidik yang diedarkan selepas ini,” katanya.

Tambah beliau, di peringkat awal pelaksanaannya terdapat sedikit masalah berkaitan dengan format filem yang diedarkan kementerian.

"Format yang diedarkan adalah berbentuk digital tetapi ada beberapa pawagam yang masih menggunakan 35 mm iaitu kaedah filem biasa.

"Ianya memerlukan sedikit masa untuk diubahsuai serta perkara-perkara yang perlu disediakan untuk masa depan,” ujarnya.

Katanya, Ia adalah kes terpencil dan bukannya kes yang memerlukan tindakan undang-undang yang perlu diambil dan sebagainya.

"Pada keseluruhannya, orang ramai menyambut baik kerana sehingga sekarang tidak ada kes-kes besar yang melibatkan orang ramai tidak mahu pergi ke pawagam ataupun cuba mempersendakan lagu Negaraku,” ujarnya.