Halaman

03 September 2013

Kenaikan harga minyak langkah kukuhkan kewangan negara

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Hari ini di mana-mana saja orang ramai heboh memperkatakan mengenai kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel yang berkuatkusa mulai tengah malam tadi.

Apa pun hujah dan pandangan yang diberikan mereka (tentunya ramai yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan api tersebut), ia dibuat demi kepentingan negara.

Langkah menaikkan harga minyak RON 95 serta diesel sebanyak 20 sen seliter itu merupakan sebahagian daripada langkah penyusunan semula subsidi yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat secara berperingkat.

Mengikut kadar baru yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) semalam, harga baru RON 95 ialah RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.

Berhubung isu ini, rakyat perlu menerima kenaikan kecil itu secara positif kerana di sebalik kenaikan harga bahan api tersebut, kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON 95 dan 80 sen seliter bagi diesel.

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM24.8 bilion bagi memberi subsidi bahan api pada tahun ini.


Fakta yang rakyat perlu tahu, dengan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen bagi dua bahan api itu, kerajaan akan menjimatkan RM3.3 bilion pada tahun ini.

Dengan sumber kewangan yang agak besar itu, kerajaan boleh menggunakannya bagi membiayai pelbagai program dan projek untuk kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Pihak pembangkang tentunya akan menggunakan isu kenaikan harga minyak ini bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin.

Pemimpin pembangkang akan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan, termasuk mahu menyusahkan rakyat dengan kenaikan harga bahan api berkenaan.

Sebaliknya rakyat perlu berfikiran rasional dan tidak ‘menelan’ bulat-bulat segala tohmahan dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang terhadap kerajaan.

Rakyat perlu sedar sudah berapa lama kerajaan terpaksa membendung kenaikan harga minyak di negara ini walaupun banyak negara lain menjual harga minyak dengan kadar harga yang jauh lebih mahal berbanding negara kita.

Kerajaan Pusat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar pada setiap tahun bagi membiayai subsidi harga minyak dan pelbagai barangan lain seperti tepung dan gula bagi meringankan beban rakyat.

 Itu fakta yang rakyat perlu perhalusi dan faham mengapa kenaikan kecil ini perlu dilakukan kerajaan, demi mengukuhkan kedudukan kewangan negara yang berdepan dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.