Halaman

02 September 2013

Kerajaan akan terus merayu untuk tambah kuota haji

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan lebih ramai jemaah dari negara ini mengerjakan haji di Tanah Suci tahun ini.

Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahimi berkata, kerajaan telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi melalui pelbagai sudut, merayu untuk menambah kuota yang ditetapkan.


"Namun dalam keadaan sekarang kita terpaksa akur dengan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi dan meminta rakyat di negara ini menerima keputusan itu dengan sabar," katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Kuala Nerus, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks berkenaan. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Pihak tabung haji juga katanya, sedang meneliti permohonan 631 isteri untuk mengikut suami mengerjakan haji tahun ini.

“Kita telah teliti permohonan yang diterima dan kebanyakannya merupakan permohonan saat akhir setelah urusan pemergian suami selesai enam bulan sebelum itu,” katanya.

 Namun begitu katanya, pihak TH tidak akan sewenangnya menolak setiap permohonan yang diterima tetapi akan mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan termasuk berusaha membuat rayuan bagi penambahan kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi.

Menurut Dato’ Abdul Azeez, penerbangan pertama jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan bermula pada 7 September ini dan diikuti penerbangan seterusnya.

“Sehingga ini terdapat 22,300 orang jemaah haji seluruh negara akan menunaikan ibadah haji tahun ini dan sudah pun mendapat kelulusan visa dari kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapat kelonggaran kelulusan visa bagi bakal jemaah haji dan umrah wanita yang berusia 45 tahun ke bawah.
 

No comments: