Halaman

29 September 2013

Kerajaan negeri akan laksana program ‘Jom Kite Nanam’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan melaksanakan program 'Jom Kite Nanam' sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan rakyat negeri ini terhadap bekalan sayur-sayuran dari luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, program ‘Jom Kite Nanam’ merupakan idea asal Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dicetus melalui program penanaman kelapa sawit untuk setiap rumah.
 
“Pada tahun ini, kerajaan negeri menambahbaik program berkenaan dengan memperkenalkan program ‘Jom Kite Nanam’ yang bakal melibatkan semua komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

“Buat permulaan, Dun Hulu Besut dan Kijal dipilih untuk menjadi perintis kepada program yang dijangka akan bermula Oktober ini. Setiap Dun diminta untuk menanam sayuran yang berbeza untuk mempelbagaikan hasil pengeluaran sayur-sayuran yang diusahakan. Pada tahun depan, kita sasarkan dapat melaksanakan program ini sekurang-kurangnya di 16 Dun,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2013 di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, baru-baru ini.

Katanya, melalui program ini, setiap peserta perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak boleh mengunakan sebarang racun perosak terhadap setiap tanaman yang diusahakan.

“Syarat ini perlu dipatuhi dalam memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati sayuran segar dan bebas daripada penggunaan sebarang bahan kimia berbahaya seperti racun serangga.

“Setiap tahun kita akan adili peserta. Kalau mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan, peserta tersebut akan dibawa melawat sebuah kampung di Thailand sebagai insentif terhadap usahanya itu,” ujarnya.

Katanya, selain dapat menyelasaikan masalah kekurangan sayur di Terengganu, menerusi program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan tani yang berjaya pada masa akan datang.

 

No comments: