Halaman

30 September 2013

Kerajaan negeri-Persekutuan kerjasama bangunkan rakyat -MB

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melawat  ladang penternakan kambing biri-biri di tapak Projek Agropolitan Besut-Setiu sambil ditemani Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Teks oleh Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

SETIU: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek-projek yang berdaya maju bagi mempastikan rakyat di negeri ini akan mendapat manfaat daripadanya, kata Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Peserta Projek Agropolitan menjunjung kasih menerangkan sesuatu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan ECERDC (Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur ) bagi menyediakan tanah yang bersesuaian bagi membangunkan Projek Agropolitan Besut-Setiu.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak ECERDC melaksanakan beberapa projek lain di Terengganu, ini termasuklah Projek Kuala Terengganu City Centre, Pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Projek Taman Herba di Hulu Dungun serta Projek Taman Lestari Setiu Wetland,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchor Bederu, Chalok, di sini, semalam.

Ahmad berkata, beliau mengharapkan kerjasama yang terjalin antara ECERDC akan terus berkekalan khususnya dalam menjayakan projek –projek ECER negeri ini demi untuk faedah dan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu.

“Adalah di harapkan selepas itu ECERDC dapat menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur untuk projek-projek pelancongan pula di negeri ini.

Ahmad Said juga mengucapkan penghargaan dan syabas kepada pihak ECERDC terutamanya kepada Dato Jebasingam Issace John selaku Pegawa Exekutif dan juga kepada FELDA ke atas komitmen dan usaha yang dicurahkan bagi menjayakan projek ini.

“Kerajaan negeri amat mengalu-galukan pelaksanaan Projek Agropolitan ini di Terengganu dan harapan kami adalah semoga projek ini akan menempa kejayaan dan mampu memacu tranformasi serta memajukan rakyat di negeri ini.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada para peserta Projek Agropolitan Besut-Setiu. Projek ini jelas membuktikan bahawa warga Besut-Setiu juga mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan transfomasi wilayah ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) dalam menjayakan wawasanya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.