Halaman

23 September 2013

Kerajaan negeri sedia RM2.5j untuk anjur program kebersihan

Oleh: Aida Abd Rahman, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (pelatih)

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi menganjurkan program kebersihan termasuk pertandingan kebersihan dan keindahan dalam pelbagai kategori peringkat negeri setiap tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kerajaan menyediakan peruntukan itu bagi menganjurkan pertandingan kebersihan kampung, pendidikan sekolah, tadika, premis makanan, masjid dan tanah perkuburan.

 “Kerajaan negeri komited dan mengambil inisiatif dalam usaha melahirkan rakyat Terengganu yang peka serta sensitif terhadap kebersihan dan keceriaan dengan menganjurkan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Peringkat Negeri Terengganu.


“Pertandingan kebersihan dan keceriaan tadika adalah satu kategori yang dipertandingkan dan melibatkan empat jabatan pra sekolah negeri Terengganu,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Tadika Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Menara Yayasan Islam Terengganu (YIT), hari ini.

Turut hadir, Pengarah YIT, Haji Md kamarul Al-Amin Ismail.

Dato’ Haji Mazlan berkata, menjaga kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan merupakan tunggak kepada kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah swt.

Beliau berkata, berdasarkan sabda Rasulullah saw `kebersihan itu sebahagian daripada iman’, penghayatan kebersihan sebagai sebahagian daripada diri mereka dalam semua aspek juga perlu disemai dalam diri kanak-kanak pra sekolah.

 “Saya berharap pertandingan kebersihan yang diadakan di peringkat negeri ini dapat mendidik serta meningkatkan kesedaran di setiap lapisan anggota masyarakat bermula dari peringkat kanak-kanak tadika lagi, agar lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar serta sensitif ke atas sebarang pencemaran atau apa jua gejala yang boleh menjejaskan kualiti alam sekeliling kita.

 “Seperti kata pepatah Melayu, `Meluntur buluh biarlah dari rebungnya’ , bersesuaian dengan kata-kata ini, pendedahan awal kanak-kanak pra sekolah mengenai kebersihan amat penting bagi memastikan generasi akan datang tahu akan kepentingan dalam menjaga kebersihan dalam segala aspek kehidupan,” katanya.

Menurutnya, pertandingan kebersihan yang dianjurkan itu mempu menerapkan nilai-nilai murni dan budaya cintakan alam sekitar yang bersih di kalangan masyarakat kita, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri bersih, harmoni dan selesa selain menaikkan imej negeri di mata dunia.


No comments: