Halaman

30 September 2013

Ketengah dan Mardi tandatangani MoU kerjasama

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Primula Beach Resort, petang semalam bagi mengadakan kerjasama dalam beberapa bidang yang telah dikenalpasti.

Menteri Besar bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyaksikan pertukaran MoU antara Ketengah dan Mardi.
Pada majlis itu, Ketengah diwakili Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud manakala Mardi diwakili Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Sharif Haron. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, hadir sama menyaksikan majlis berkenaan.

Melalui MoU itu Mardi dan Ketengah akan bekerjasama dalam pembangunan bidang pertanian dan pembangunan komuniti petani melalui perkongsian dan pemindahan teknologi, kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta latihan industri.

Objektif memorandum itu ialah kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama pertanian, teknikal serta berkongsi kepakaran bagi membangun dan mengeksploitasi bidang pertanian dan pembangunan komuniti petani.

Kedua-dua agensi berkenaan turut bekerjsama dalam pembangunan teknologi berkaitan bagi menjalankan program pengurusan dan pembangunan pertanian serta menyumbang kepada pelaksanaan program sumber alam sekitar serta perancangan strategik negara.

Sebelum ini, kedua-dua agensi tersebut telah bekerjasama bagi membangunkan Taman Tropika di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Selain itu, hasil penyelidikan Mardi mengenai khasiat ceri Terengganu telah mendapat perhatian Ketengah di mana spesies tersebut dijadikan ikon Taman Tropika Kenyir.

No comments: