Halaman

24 September 2013

Lebih 20 negara dijangka sertai TIIAF 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Datuk Haji Zubir Embong
Lebih 20 negara dijangka akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan bermula 15 November ini selama tiga hari, di Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong berkata, sehingga kini 12 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu dari Jordan, Iraq, Algeria, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Pakistan, Yaman, Brunei, Palestin, Thailand dan Arab Saudi bagi acara pertandingan seni khat peringkat antarabangsa.

"Kita masih menunggu pendaftaran peserta dari lain-lain negara antaranya Sepanyol, Turki, serta Singapura sehingga tarikh tutup penyertaan pada 24 Oktober ini dan dijangka lebih 20 negara akan menyertai TIIAF 2013 kerana kali ini terbuka kepada seluruh negara.

“Bagi pertandingan khat kategori antarabangsa, peserta dibekalkan buku panduan pertandingan seni khat dan diberi masa selama tiga bulan untuk menyiapkan karya masing-masing dan perlu dihantar kepada seketariat TIIAF 2013 sebelum tarikh tutup.

“Manakala peringkat kebangsaan pula ada dua kategori iaitu karya siap (kanvas, kayu, logam) dan spontan. Pertandingan seni khat spontan akan diadakan pada 17 November 2013. Bagi peserta yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu mengisi borang pertandingan dan menyerahkannya kepada urusetia program sebelum 30 Oktober ini, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, hadiah yang ditawarkan cukup lumayan di mana nilai hadiah keseluruhan bagi pertandingan peringkat antarabangsa adalah sebanyak USD 20,000.

Tambah beliau, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 20013, program TIIAF 2013 juga merupakan medan untuk mempromosikan keunikan seni dan budaya serta keindahan Terengganu khususnya kepada peserta luar negara.

 

No comments: