Halaman

20 September 2013

Masjid At-Takwa, Beris Tok Ku, Indah.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Masjid At Takwa, Beris Tok Ku
KEBERSIHAN dan keindahan sesebuah masjid itu bukan sahaja boleh menarik orang ramai untuk datang menunaikan solat atau melakukan ibadah lain tetapi ia boleh manaikan imej Islam di kalangan penganut agama lain ataupun pelancong asing yang datang ke negeri ini.

Masjid Kampung Al Takwa, Beris Tok Ku yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Bandar Permaisuri, Setiu adalah sebuah masjid yang indah dan bersih dan ianya pernah memenangi anugerah dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Masjid dan Surau Daerah Setiu selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2006 dan 2007

Mohd Amin (Kiri) bersama Iman I dan AJK masjid.
Imam II masjid itu, Mohd Amin M.Nong , berkata pihak pentadbir masjid dan kariah sentiasa mengambil berat tentang keindahan dan kebersihan masjid ini dengan saling bekerjasama menjaganya supaya ia sentiasa dalam keadaan bersih dandan ceria.

“Walaupun masjid yang dibuka pada tahun 1988 ini adalah bangunan kayu dan lama tetapi kami memang mengambil berat soal kebersihan dan keindahan. Seminggu sekali ada beberapa jemaah yang membersih kawasan ini dan menceriakannya dan mengadakan gotong royong jika perlu,” katanya.



Papan tanda masjid berhampiran jalan.
Mohd Amin berkata, pada mulanya masjid itu adalah sebuah surau yang dipindahkan dari sebuah kampung lain selepas pembukaan Kampung Kampung Beris Tok Ku tetapi ia dinaiktaraf sebagai sebuah masjid pada Julai 2007 kerana pertambahan penduduk.

“Dulu jemaah hanya 10 orang sahaja tetapi lama kelamaan ia bertambah dan kini masjid ini mempunyai kira-kira 200 jemaah dan masjid ini juga sering menjadi tumpuan musafir yang melalui jalan pantai untuk berhenti menunaikan solat ataupun berehat,” katanya.

Menurutnya, masjid itu mampunyai tiga iman dan tiga bilal yang akan bertugas dengan bergilir-gilir dan pelbagai aktiviti keagamaan diadakan antaranya ialah ceramah agama mingguan, kuliah subuh dan ceramah agama untuk muslimah.

“Jika ada penceramah yang datang, biasanya masjid ini dipenuhi kariah yang dari sekitar kampung. Pelbagai aktiviti lain turut diadakan di masjid ini,” katanya mengenai masjid yang pernah menerima peruntukan sebanyak RM100 ribu dari kerajaan untuk kos mengubahsuai itu.

Laluan ke tandas yang dihiasi indah.
Dalam pada itu, teganukita difahamkan sebuah masjid baru akan dibina kerajaan negeri berhampiran masjid ini bagi mengantikan masjid lama itu dan kerja-kerja tapak sudahpun dijalankan dan bangunan akan didirikan tidak lama lagi untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah yang semakin meningkat ramai.