Halaman

30 September 2013

MB arah SPRM siasat kontraktor

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab membina Masjid Kampung Tebauk yang bumbungnya runtuh semalam.

Pengarah JKR negeri (tengah) menyerahkan laporan mengenai kejadian bumbung Masjid Kampung Tebauk yang runtuh  kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Beliau mahu mereka yang terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dihadapkan ke mahkamah dan diberi hukuman wajar sebagai teladan kepada pihak lain di masa depan.

Menurut beliau, kejadian itu sangat memalukan kerajaan kerana pihak tertentu pasti akan menyalahkan pemimpin kerajaan sedangkan agensi dan pegawai kerajaan bertanggungjawab memantau semua projek kerajaan yang dilaksanakan di negeri ini.

 “Orang politik akan jadi tong sampah, semua pihak akan menyalahkan orang politik bila berlaku kejadian tidak diingini seperti bumbung masjid dan bangunan kerajaan runtuh,” katanya ketika di Primula Beach Resort petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal dalam daerah Kuala Terengganu telah runtuh.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Shafii Mohamad, kejadian runtuhan bumbung berkenaan berlaku di ruang solat terbuka hadapan masjid berkenaan.

 Beliau menjelaskan pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan bumbung masjid ini dibina balik mengikut bentuk asal selepas pihak forensik Jabatan kerja Raya (JKR) menilai, membuat semakan dan mencari punca-punca mengapa berlakunya runtuhan tersebut.

Katanya, sebelum ini semasa melaksanakan kerja memasang bumbung berkenaan, pihak pembekal memberi waranti selama 10 tahun.

Menteri Besar turut mengarahkan JKR supaya mengadakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan menyerahkan laporan lengkap kepada kerajaan secepat mungkin.