Halaman

21 September 2013

Mohd Jidin ditentang bekas "guru"nya.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mohd Jidin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan di Kenyir, petang tadi.
SETIU: Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee menghormati langkah bekas exco negeri Dato' Mamat Razali Abdul Rahman untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian pada mesyuarat UMNO Bahagian Setiu yang akan diadakan nanti.

“Saya menghormati beliau, beliau adalah guru saya,” kata Mohd Jidin ketika dihubungi Teganukita, sebentar tadi.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan Di Tasik Kenyir, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai pertandingan yang bakal diadakan pada mesyuarat UMNO bahagian Setiu itu nanti, beliau berkata, sebagai sebuah pertubuhan yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri untuk bertanding.

“Saya sebenarnya tidak ada masalah apa-apa soal perlawanan, perlawanan adalah demokrasi dalam UMNO, jadi siapa sahaja boleh mengambil borang dan mencalonkan diri mereka, jika dahulu mereka terpaksa dicadangkan dari cawangan. Tetapi oleh kerana sistem baru ini, sesiapa sahaja yang mahu bertanding boleh mencalonkan diri.

“Jadi sebab itu tidak ada satu-satu batasan dari mereka.,siapa yang nak boleh masuk, terbuka. Walaupun kita ada pertandingan macam ini tapi dari segi semangat kita tak adalah nak bergaduh apa-apa, tak ada, kita duduk sama-sama.

“Kebebesan ini kita tawar yang buat sendiri kita yang tawar maka kita terima dengan baik. Ini adalah pertandingan yang sihat, kita harap begitulah. Penamaan calon keempat-empat sayap tadi berjalan dengan baik dan lancar dan penuh muhibbah,” katanya.

Sementara itu, pencalonan hari ini juga menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar menerima pencalonan tunggal dan bakal menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Setiu apabila dia tidak akan ditentang pada pemilihan akan datang.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Ismail Saamah berkata, untuk jawatan Ketua Wanita, dua pencalonan diterima iaitu Wan Nasiah Wan Majid (Langkap) dan Wan Maznah Awang Nong (Batu Rakit) manakala untuk Puteri UMNO pula, Nik Ana Azlina Nik Soh (Permaisuri) dan Nur Fuzilawati (Jabi) dicalonkan.