Halaman

24 September 2013

Mohd Noor berjaya selesaikan misi hari ketiga

Oleh: Noraini Jusoh




Dengan semangat kental melunaskan nazarnya untuk berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut ke Putrajaya setelah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut 24 Julai lalu, peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) Mohd Noor Mat berjaya menyelesaikan misinya bagi hari ketiga.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu bersama 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu yang meneruskan perjalanan dari Dataran Batu Burok selamat tiba di Dewan Sivik Merchang, Marang tepat jam 5.55 petang ini.

Selain disambut meriah oleh penduduk setempat, ketibaan Mohd Noor dan peserta Walk4Malaysia yang lain turut disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, A. Latif Awang serta Ketua Pemuda Umno Marang merangkap Ketua Pemuda Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Mohd Nor yang mula berjalan kaki dari Dataran Batu Burok kira-kira jam 8.30 pagi tadi berjaya menamatkan perjalanan dengan jarak sejauh 48.8 km dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu 9 jam.

Beliau berhenti rehat dan bermalam di situ, sebelum meneruskan perjalanan bagi hari seterusnya ke Paka pada esok pagi.

Peserta Walk4Malaysia dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Merchang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

Seterusnya mereka akan berjalan kaki dan berehat di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

 

No comments: