Halaman

17 September 2013

Pas perlu berpisah dengan DAP

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Sudah agak lama perkataan ‘tahaluf siyasi’ yang dikaitkan berhubung ‘perkahwinan campur’ antara Pas dengan DAP bagi menentang Barisan Nasional (BN) diperkatakan.

Sebaliknya, perkataan itu hangat diperkatakan semula minggu ini apabila beberapa pemimpin Pas berbalah sesama sendiri mengenai keperluan parti itu bergabung dengan DAP bagi membentuk ikatan parti-parti pembangkang di negara ini yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, Dewan Ulamak Pas sendiri turut mencadangkan semakan semula terhadap pelaksanaan tahaluf siyasi parti itu bersama sekutunya yang didakwa menyebabkan pengaruh Pas semakin lemah, terutama di kawasan majoriti penduduk Melayu dan beragama Islam.

Ramai pemimpin Pas mahu parti itu menyemak semula konsep ‘tahaiuf siyasi’ yang digunapakai bagi membolehkan Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menentang Kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Gesaan itu dibuat kerana pemimpin Pas berkenaan telah sedar bahawa pakatan Pas dengan DAP dan PKR pada PRU13 hanya menguntungkan DAP semata-mata.

Bagaimanapun, seperti biasa masih terdapat segelintir pemimpin Pas yang bermati-matian mahu mempertahankan pakatan tersebut kerana kepentingan tertentu dan mereka tanpa berfikir panjang membangkang cadangan tersebut.

Dalam hal ini, pemimpin Pas yang masih sayang kepada parti itu perlu berfikir secara rasional dan mendalam serta menyokong cadangan yang dikemukakan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kedah kelmarin agar tahaluf siayasi antara Pas dan sekutu mereka disemak semula.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengambilkira pandangan Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Ustaz Abdullah Sa’amah yang menegaskan bahawa konsep tahaluf siyasi antara Pas, PKR dan DAP langsung tidak memberi manfaat terhadap kedaulatan Islam dan orang Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, konsep yang digunapakai oleh Pas itu hanya menjurus kepada kepentingan parti dan politik pemimpin mereka sahaja.

Pas perlu berpisah dengan DAP yang semakin terbukti sebuah parti rasis yang anti-Islam dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina sahaja.

 Pas juga perlu meninggalkan rakan mereka PKR yang hanya berjuang untuk kepentingan beberapa pemimpin parti itu dan mencapai cita-cita pemimpin utamanya menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin Pas perlu berani untuk melakukan perubahan sekarang bagi memastikan kepentingan masyarakat Melayu dan umat islam tidak terjejas akibat sikap tamak pemimpin pembangkang yang hanya mahu berkuasa, tanpa mengambil kira nasib generasi akan datang.....
 



No comments: